Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan satu portal bagi membolehkan
orang awam menyemak akaun bank yang dikhuatiri terbabit dengan
transaksi penipuan urus niaga dalam talian.
Timbalan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Siber dan Siasatan
Multimedia) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Noordin Ismail,
berkata portal khas itu bertujuan membantu orang ramai daripada menjadi
mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
"Portal ini
adalah inisiatif JSJK dan diilhamkan sendiri oleh Pengarah JSJK Datuk
Acryl Sani bagi membantu orang ramai agar tidak terpedaya dan menjadi
mangsa penipuan terutamanya apabila membabitkan transaksi wang
menggunakan akaun bank.
"Menerusi portal ini, orang ramai
boleh membuat semakan sama ada akaun bank itu pernah dilaporkan terbabit
dalam penipuan atau sebaliknya.
"Mereka hanya perlu
memasukkan nombor akaun untuk semakan dan sekiranya ada penipuan
menggunakan akaun terbabit, ia akan dipaparkan di ruang carian," katanya
dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Noordin,
walaupun portal berkenaan masih di peringkat percubaan, namun ia sudah
mempunyai 47,000 pelawat dengan 25,000 carian akaun bank dibuat oleh
pelayar internet.
"Portal itu baru dilancarkan beberapa hari lalu dan masih dalam tempoh percubaan untuk kita melihat sebarang kekurangan.
"Ia
akan ditambah baik dari masa ke semasa sebelum dilancarkan secara rasmi
oleh Pengarah JSJK Bukit Aman sendiri dalam tempoh terdekat," katanya
lagi.
No comments:
Post a Comment